Orang besi Malaysia, Dion Cools tidak melihat komunikasi sebagai satu isu terutama dengan lima pemain baharu negara.
Isu komunikasi menjadi kebimbangan penyokong apabila identiti lima pemain baharu Harimau Malaya didedahkan. Mereka ialah Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Facundo Garces.
Latar belakang majoriti pemain yang berasal dari Amerika Selatan mengundang kebimbangan penyokong. Ini kerana mereka bimbang pemain-pemain baharu negara akan berdepan kesukaran menyesuaikan diri bersama pemain-pemain yang ada.
Apabila diminta mengulas tentang isu berkenaan, Cools melihat isu komunikasi tidak timbul dalam kalangan pemain.
“Sudah tentu apabila pemain baru masuk, ia akan menjadi sukar pada awalnya. Kita kena sesuaikan dengan bahasa tempat mereka datang.
“Tapi pada akhirnya, kita akan bercakap bahasa sama bila berada di atas padang. Jadi, mereka boleh lihat di padang latihan apa yang mereka jangkakan daripada kita.
“Dan kita boleh lihat kualiti mereka dan apa yang mereka boleh bawa kepada pasukan. Jadi, amat penting untuk kita serasi bukan saja dalam padang tetapi di luar padang. Setakat ini, semuanya bagus,” katanya kepada Nadi Arena.
Cools baru-baru ini selesai melengkapkan perpindahan ke kelab Jepun, Cerezo Osaka. Beliau menjadi pemain negara terbaru beraksi di Negara Matahari Terbit itu.
Kualiti lima tonggak baharu Harimau Malaya itu dijangka ditagih menjelang aksi menentang Vietnam pada 10 Jun ini.