Advertisement
Pemain Selangor Bakal Berhijrah Ke Eropah
Transfer
MakanBola
Selangor FC

Selepas beberapa pemain Malaysia berkelana ke eropah untuk mengembangkan karier bola sepak mereka, kini tiba masanya untuk pemain wanita Selangor FC, Nur Lyana Soberi untuk menimba pengalaman di eropah.

Difahamkan, Lyana bakal ke Kosovo bagi menyertai KFF Presingu sebagai salah seorang pemain import kelab tersebut. Hasil tinjauan di laman selangorfc, Lyana bakal beraksi di sana untuk tempoh lapan bulan.

Dilabel sebagai pemain yang menakjubkan, Lyana mula bergiat aktif dalam kancah bola sepak Malaysia pada 2017 dengan menyertai kejuaraan Tun Sharifah Rodziah, dan pernah menjulang trofi itu pada 2018 dan 2022.

Selain itu, Lyana juga membantu pasukan menjuarai Liga Wanita Selangor tahun ini dan dinobatkan sebagai Pemain Paling Berharga pertandingan itu.

Pemain berusia 24 tahun itu merupakan antara tonggak utama pasukan Wanita Malaysia. Beliau mula mewakili Malaysia dalam Kejohanan Wanita AFF 2019 di Thailand dan edisi 2022 di Filipina, Pusingan Kelayakan Piala Asia 2021 di Palestin, dan Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama pemain wanita Malaysia berkelana ke luar negara. Terdahulu, Azurin Mazlan yang beraksi di posisi penjaga gol pernah berkelana ke India manakala Intan Sarah pula beraksi di Amerika Syarikat untuk Liga Premier Bolasepak Wanita (WPSL).