Pemain Thailand Dapat Bonus RM133 Ribu Lepas Tewaskan Hong Kong

Thailand Hong Kong Changsuek Pemain Thailand Dapat Bonus RM133 Ribu Lepas Tewaskan Hong Kong
Changsuek
Azim Noor @mohdazim45
9:46am 20/06/2023

Selepas diikat 1-1 dengan Taiwan pada 16 Jun lepas, Thailand tahu mereka perlu meraih kemenangan ke atas Hong Kong. Dan selepas berjaya membenam The Dragons 1-0 semalam, barisan pemain Gajah Perang mendapat bonus sejuta baht (RM133,000) sebagai ganjaran kemenangan.

Ganjaran ini telah diumumkan oleh pengurus pasukan, Nualphan Lamsam atau Madam Pang sebelum perlawanan. Ini sebagai cara meredakan tekanan yang dialami pemain selepas gagal meraih kemenangan ke atas Taiwan sebelum ini.

Ganjaran tersebut membakar semangat skuad Gajah Perang untuk melakar kemenangan di Stadium Hong Kong semalam. Gol tunggal pasukan yang dibimbing Mano Polking itu disumbang oleh ayam tambatan mereka, Teerasil Dangda.

“Sebelum perlawanan, kita tahu semua pemain tertekan selepas seri dengan Taiwan. Jadi, kita beritahu mereka dalam bilik persalinan sebelum sesi memanaskan badan bahawa kita akan beri sejuta baht (RM133,000) sebagai galakan dan ganjaran untuk pengorbanan semua kepada skuad Thailand.

“Kita telah melakukannya, terima kasih dan penghargaan kepada semua yang menunjukkan keazaman dalam situasi ini. Menjadi pasukan pelawat bukan mudah tetapi ia satu pengalaman hebat dan penting.

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya, masih ada banyak perkara yang perlu diperbaiki. Terutama sentuhan terakhir bila menjaringkan gol dan kepelbagaian taktik serangan.

“Paling penting, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong bola sepak Thailand yang datang menyokong kami di Hong Kong dan juga di Thailand,” kata Madam Pang kepada media seperti dilaporkan oleh SiamSport.