“Pembangunan Akar Umbi Kena Kuat Untuk Jangka Panjang” – Yusoff Mahadi
MakanBola
FA Malaysia

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi melihat pembangunan akar umbi sebagai kunci kekuatan jangka panjang Harimau Malaya.

Isu pembangunan akar umbi kembali menjadi sebutan susulan kekalahan skuad negara di tangan New Zealand baru-baru ini di Auckland.

Meskipun diperkuatkan dengan kehadiran pemain warisan dan pemain naturalisasi, Harimau Malaya dilihat sukar bersaing dengan All Whites di atas padang.

Justeru, ada penyokong mahu lebih ramai pemain tempatan mendapat tempat dalam skuad kebangsaan.

Yusoff melihat kehadiran pemain naturalisasi dan pemain warisan sebagai pemangkin untuk membawa Harimau Malaya ke hadapan. Pada masa sama, pembangunan akar umbi perlu berjalan seiring agar ia menjadi teras pasukan itu pada masa hadapan.

“Faktor (pemain naturalisasi dan pemain warisan) itu saja yang menjadikan sebagai pemangkin (kemajuan Harimau Malaya). Dan tentu sekali untuk jangka panjang, pembangunan (akar umbi) juga kena berjalan seiring.

“Untuk proses jangka panjangnya, kita perlu memperkuatkan pembangunan program kita supaya kita ada satu peringkat atau tahap yang baik.

“Pemain-pemain ini tahu untuk jadi pemain negara, kena mesti capai tahap ini. Kalau tak, takkan ada sasaran untuk mereka (capai),” katanya baru-baru ini.

Salah satu prospek negara ketika ini skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16). Pasukan ini akan bersaing dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2025.

Malaysia berada dalam Kumpulan H bersama tuan rumah Laos, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Lubnan. Malaysia akan membuka kempen kelayakan menentang Lubnan pada 23 Oktober ini.