Penang FC Hadkan Bilangan Drum Buat Penyokong Lawan

Penang FC 5 Penang FC Hadkan Bilangan Drum Buat Penyokong Lawan
Penang FC
Nabil Fahmi @nabilfamy
10:38am 11/03/2023

Suasana dan atmosfera di dalam stadium sudah pasti akan diserikan dengan paluan drum dari penyokong kedua-dua pasukan. Sorakan penyokong berserta paluan drum sedikit sebanyak akan menambahkan lagi semangat buat pemain-pemain di atas padang.

Baru-baru ini, pasukan Penang FC melalui laman media sosial mereka, menghebahkan bahawa hanya dua drum sahaja yang dibenarkan buat penyokong pelawat. Dua drum tersebut merupakan jenis ‘Bass Drum’ dan ‘Snare Drum’.

Jika penyokong pelawat cuba membawa bilangan drum yang lebih, Penang FC ataupun petugas stadium berhak untuk menghalang kemasukan penyokong tersebut ke stadium.

Difahamkan larangan ini bukanlah larangan yang baharu diperkenalkan oleh Penang kerana beberapa pasukan di Liga Super juga turut menghadkan jumlah drum yang boleh dibawa masuk ke stadium buat penyokong pelawat.

Melalui tinjauan di ruangan komen, kebanyakan penyokong tidak bersetuju dengan larangan ini. Malah ada yang turut berkongsikan pengalaman pergi ke beberapa stadium yang mana melarang penyokong pelawat membawa masuk lebih satu drum.

“Santai bang. Itu untuk ultras away. Benda ni sebelum ni Stadium Sultan Ibrahim dah buat lama dah. Cuma mereka tak up dekat social media saja,” kongsi seorang penyokong.

Walau bagaimanapun, peraturan perlulah dipatuhi agar suasana di dalam stadium kelak tidak menimbulkan sebarang kejadian yang tidak diingini.