Penang FC mahu menamatkan kemarau trofi pasukan itu selama 24 tahun.
Hasrat ini dizahirkan pengerusi pasukan itu, Daniel Gooi apabila ditanya tentang aspirasi Sang Harimau Kumbang menjelang final MFL Challenge Cup.
Kali terakhir Penang meraih trofi ialah 2002. Pada tahun itu, pasukan utara tanah air itu yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim muncul juara Piala FA.
Penyerang Argentina, Gustavo Romero muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan buat Penang ketika berentap dengan Perak di pentas final.
Daniel percaya final MFL Challenge Cup dilihat peluang terbaik buat Sang Harimau Kumbang meraih trofi buat penyokong setia mereka.
“Ini adalah satu detik yang amat kita rasa bangga di mana selepas 24 tahun, kali terakhir pasukan Pulau Pinang mara ke pelawanan akhir adalah Piala FA pada tahun 2002. Di mana kita keluar daripada perlawanan akhir itu sebagai pemenang.
“Bukan selalu pasukan Penang dapat beraksi di dalam perlawanan akhir. Dan kita rasa kita akan ambil kesempatan sebaik mungkin dalam perlawanan akhir ini untuk membuktikan kita ada kemampuan untuk menjuarai MFL Challenge Cup ini,” katanya kepada Nadi Arena.
Penang akan berentap dengan Sabah FC di pentas final untuk merebut gelaran juara. Final pertama MFL Challenge Cup bakal berlangsung pada 4 April sebelum disusuli final kedua pada 19 April ini.