Penang FC berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi suku akhir pertama Piala FA tanpa tiga tonggak.
Tiga tonggak tersebut ialah dua penjaga gol, Ramadhan Hamid dan Khairulazhan Khalid serta bek tengah import, Faith Obilor. Perkara itu dikongsikan wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
Ramadhan dan Khairulazhan masing-masing tidak dapat beraksi akibat kecederaan. Faith Obilor yang menjadi tonggak di bahagian pertahanan pula perlu menjalani penggantungan perlawanan.
Meskipun sedar dengan situasi yang dihadapi pasukan utara tanah air itu, pengendali Penang, Wan Rohaimi Wan Ismail tidak melihat itu sebagai halangan membentuk skuad terbaik menentang Harimau Selatan.
Malah, bekas penyerang kebangsaan itu berharap anak buahnya mampu memberi tentangan kepada JDT apabila beraksi di Stadium Bandaraya.
“Baik, persiapan kami sedikit terganggu dengan masalah kecederaan dan juga penggantungan di mana kedua-dua penjaga gol utama kami cedera iaitu Ramadhan dan juga Khairulazhan dan Faith Obilor digantung satu pelawanan.
“Tetapi itu adalah satu lumrah dalam persiapan yang mana tidak boleh lari dengan isu kecederaan dan juga penggantungan.Nak tak nak, kami kena sediakan pasukan untuk pelawanan mereka besok.
“Dan saya harap pemain-pemain saya yang diturunkan nanti dapat menyaingi kehebatan JDT,” katanya.
Penang dan JDT bakal berentap dalam aksi suku akhir pertama pada Ahad.