Pestabola Merdeka 2024 bakal menyaksikan kehadiran pengadil berpengalaman di peringkat antarabangsa untuk mengadili kejohanan itu.
Perkara ini dikongsikan oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed kepada media selepas upacara cabutan undi Pestabola Merdeka 2024.
Firdaus melihat kehadiran pengadil antarabangsa yang berpengalaman dalam kejohanan ini bukan saja akan menambah prestij kepada kejohanan itu.
Malah, ini memastikan semua pasukan mendapat pendedahan pengadilan berkualiti di peringkat antarabangsa. Ini kerana keempat-empat pasukan termasuk Malaysia bakal berentap dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia yang berlangsung pada 2025.
“Menggunakan pengadil luar negara, kami tidak mahu dianggap syok sendiri. Kejohanan ini di bawah kalendar FIFA. Beberapa pengadil di Asia telah dikenal pasti, bertaraf FIFA dan memiliki pengalaman,” katanya.
Firdaus turut mendedahkan FAM turut mempertimbang untuk menggunakan sistem bantuan pengadil video (VAR) untuk Pestabola Merdeka 2024. Walau bagaimanapun, perkara tersebut masih belum diputuskan.
“Kita masih dalam perbincangan untuk sediakan VAR bagi kejohanan kali ini tetapi masih belum diputuskan lagi,” tambahnya.
Malaysia bakal berentap dengan Filipina, Lebanon dan juara edisi lepas, Tajikistan untuk edisi 2024. Malaysia bakal membuka kempen dengan menentang Filipina pada 4 September ini.