Pemain sayap Sabah, Saddil Ramdani meluahkan rasa tidak puas hati beliau terhadap mutu pengadilan ketika aksi Liga Super bertemu Terengganu pada Jumaat.
Sabah terbang ke Pantai Timur untuk berdepan Terengganu dengan misi bangkit melakar kemenangan setelah terpaksa akur terikat seri dalam 3 perlawanan berturut-turut sebelum ini.
Malah, pertemuan di Gong Badak ini menjadi tumpuan oleh kerana kedua-dua pasukan buat masa ini sedang bersaing bagi memburu tangga ketiga carta Liga Super yang dihuni Sabah ketika ini.
Permulaan positif buat Sabah apabila Stuart Wilkin meledak jaringan pendahuluan seawal minit ke-20 sebelum Ismaheel Akinade menanduk gol penyamaaan untuk Terengganu lega seketika.
Pada minit ke-44, Sabah sekali lagi di hadapan menerusi gol tandukan cantik oleh Saddil Ramdani sebelum Safawi Rasid muncul wira Terengganu untuk kedua-dua pasukan sekadar terikar 2-2.
Walau bagaimanapun, keputusan ini tampak tidak disenangi oleh pemain sayap Sabah, Saddil Ramdani yang meluahkan rasa kecewa terhadap mutu pengadilan sebaik aksi berakhir.
”Pengadil teruk, malam ini kepimpinan kamu amat merugikan kami. Sepatutnya 3 mata itu milik kami (Sabah),” kata Saddil dalam catatan di Instastory.

Keputusan seri ini turut menyaksikan Sabah masih kekal di kedudukan ketiga Liga Super dengan mengumpul 36 mata tatkala Terengganu satu anak tangga di belakang dengan 32 mata.
Selepas ini, Sabah akan kembali ke Likas untuk menentang PDRM pada 5 April hadapan sementara Terengganu bakal berdepan juara MFL Challenge Cup, Selangor di Kelana Jaya.