Penolong jurulatih baharu Harimau Malaya, Mark Miligan percaya pengalaman di rantau Asia bakal menjadi aset berharga beliau untuk membantu pasukan itu.
Miligan sah menggalas peranan sebagai pembantu jurulatih rakan senegara, Peter Cklamovski. Sebelum ini, beliau menggalas peranan sebagai penolong jurulatih kelab A-League, Adelaide United.
Miligan bukan asing dengan rantau Asia kerana pernah beraksi untuk Shanghai Shenhua, JEF United Chiba, Baniyas dan Al-Ahli.
Selain itu, beliau juga pernah beraksi di Eropah untuk Hibernian (Scotland) dan Southend United (England).
Jurulatih berusia 39 tahun itu percaya pengalaman dan pengetahuan yang ditimba di kelab-kelab ini akan membantu beliau sepanjang bersama Harimau Malaya.
“Justeru, cara saya memahami tentang rantau ini dan bola sepak yang dimainkan bukan saja bola sepak Malaysia tetapi juga bola sepak Asia secara umumnya akan sangat membantu,” katanya.
“Jelas sekali pengalaman dalam kejohanan besar dan bermain dengan pelbagai cara yang berbeza dan perkara seperti itu. Jadi, apa yang kita akan fokuskan ialah cara yang kami mahukan pasukan bermain.
“Saya fikir pemahaman tentang rantau ini dari segi aspek bola sepak Asia amat membantu bukan saja dari segi persediaan tetapi juga untuk berjaya.”
Miligan bakal membantu Cklamovski mempersiapkan Harimau Malaya menjelang aksi pertama kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini.