Menjelang aksi final Piala MFL malam ini, pengendali Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II, Mariano Echeverria percaya pengalaman kejuaraan skuad senior bakal membantu anak-anak buahnya.
Dengan ramai pemain JDT II berlatih dan beraksi untuk skuad senior, mereka diberi pendedahan untuk bijak menangani tekanan terutama dalam aksi final.
Bagaimanapun, Terengganu II memiliki kelebihan dari segi rekod pertemuan Piala MFL. Skuad Penyu meraih kemenangan sebanyak dua kali ke atas Harimau Selatan dalam tiga pertemuan.
Justeru, Echeverria berharap pengalaman beraksi di kejohanan besar dapat memastikan JDT II menjulang Piala MFL pada malam ini.
“Perkara paling penting di sini ialah pemain saya sudah bersedia dan tidak sabar untuk beraksi. Kita bemain untuk pasukan terbaik di Malaysia iaitu JDT.
“Kita tahu bagaimana untuk bermain dalam detik sebegini. Sekali lagi, keyakinan saya berlandaskan kepada kita sudah bersedia untuk aksi final,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan semalam.
Kedua-dua pasukan bakal bersemuka di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada malam ini.