Penyerang baru Selangor FC, Ali Olwan mengakui pengalaman tiga rakan senegaranya mendorong beliau memilih pasukan gergasi Lembah Klang itu.
Penyerang berusia 24 tahun itu menyertai Merah Kuning dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) pada 5 Ogos lalu. Ini menjadikan beliau pemain Jordan ketiga beraksi untuk Selangor untuk musim 2024/25.
Selain beliau, Merah Kuning turut mengekalkan khidmat Noor Al-Rawabdeh dan membawa masuk Reziq Bani Hani pada hari terakhir tetingkap perpindahan pertama Liga M.
Ali mendedahkan perpindahan ini tidak akan terjadi tanpa perkongsian pengalaman daripada Noor, Baha Abdul Rahman dan Yazan Al-Arab.
Baha yang kini bersara menyertai Merah Kuning selama semusim pada 2022. Sementara Yazan pula menjadi orang besi di bahagian pertahanan Selangor dari 2022 hingga 2023.
Ali mengakui pengalaman positif trio itu di Malaysia mendorongnya memilih Selangor sebagai pasukan baru selepas meninggalkan kelab Qatar, Al-Shamal SC.
“Daripada pengalaman Yazan Al-Arab, Noor Al-Rawabdeh, Baha Abdul Rahman dan kini Reziq Bani Hani, (ini) lebih memberi keyakinan kepada saya untuk datang ke kelab besar ini,” katanya dalam satu temu bual khas bersama pasukan itu.
Bekas penyerang Al-Khor SC itu turut kagum dengan sikap profesionalisme yang ditampilkan pengurusan Selangor terutama dari segi penjagaan kebajikan pemain. Aspek ini amat dititikberatkan Ali sebagai seorang pemain profesional.
Atas sebab itu, beliau berjanji akan memberi yang terbaik untuk membantu Merah Kuning cemerlang dalam setiap kejohanan yang disertai.
“Saya melihat bagaimana Selangor FC menghormati pemain dan cara mereka menguruskan sesuatu secara profesional. Itu adalah perkara penting bagi saya sebagai pemain profesional.
“Insya Allah, saya akan sedaya upaya membantu pasukan mencapai lebih banyak pencapaian musim ini,” tambahnya.