Pasukan utara tanah air, Penang FC bakal mengintai khidmat seorang penyerang Australia untuk menambah ketajaman jentera serangan mereka.
Ketumpulan jentera serangan Harimau Kumbang bukan saja menggusarkan penyokong setia pasukan itu. Malah, hal ini turut merisaukan pengendali Penang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Ini turut disokong dengan statistik jaringan dalam liga. Meskipun Harimau Kumbang menduduki tangga keenam ketika ini, pasukan itu hanya menjaringkan sembilan gol.
Jumlah tersebut amat sedikit jika dibandingkan dengan lima lagi pasukan iaitu Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Selangor FC, Terengganu FC, Sabah FC dan Kuching City FC.
JDT dan Selangor masing-masing merekodkan 28 dan 16 gol. Manakala Terengganu, Sabah dan Kuching City pula berkongsi 12 jaringan.
Malah, pasukan yang menduduki tangga ke-10 liga, Perak turut memiliki rekod jaringan yang lebih baik daripada Harimau Kumbang iaitu 10 gol.
Ini membawa kepada khabar angin perpindahan yang dikongsikan wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran. Beliau mendedahkan Penang berminat mendapatkan penyerang Central Coast Mariners, Dylan Wenzel-Halls.
“Difahamkan Penang sedang memantau khidmat penyerang Australia, Dylan Wenzel-Halls. Pemain berusia 26 tahun itu boleh bermain sebagai penyerang dan pemain sayap. Beliau kini bermain untuk pasukan A-League, Central Coast Mariners,” katanya di X.
Wenzel-Halls hadir dengan reputasi besar bukan saja selaku pemenang A-League sebanyak tiga kali bersama The Mariners dan Western United. Malah, beliau turut membantu kelab itu muncul juara Piala AFC edisi 2023/24.
Seandainya perpindahan ini menjadi kenyataan, ini bakal memaksa jurulatih The Mariners, Mark Jackson mencari pengganti dengan kadar segera. Ini kerana kelab itu hanya memiliki tiga penyerang senior iaitu Garang Kuol, Ryan Edmondson dan Wenzel-Halls.
Sebelum ini, Penang dilaporkan mengintai dua penyerang dengan profil berbeza untuk menambah ketajaman jentera serangan mereka.