Penyerang muda Selangor FC II, Abdul Rahman Daud mengimpikan gelaran Kasut Emas Liga A1 Semi-Pro.
Hal ini dinyatakan beliau apabila diminta mengulas tentang prospek tersebut oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Rahman bukan saja melihat perkara itu sebagai satu impian buat dirinya. Malah, ini juga peluang buat beliau membuktikan penyerang tempatan juga berbisa seperti penyerang import.
“Sememangnya, itu jadi impian saya untuk jadi penjaring terbanyak tempatan untuk cuba kalahkan (penyerang) import,” katanya.
Penyerang Kelantan Red Warrior FC (KRW FC), Emmanuel Mbarga mengetuai carta penjaring terbanyak dengan 21 gol.
Rahman mengekori dari belakang dengan 18 gol. Ini termasuk satu gol yang dijaringkan dalam kemenangan 4-0 ke atas Imigresen FC II.
Said Khamis menduduki tempat ketiga dengan 16 gol. Celso Bermejo dan Hadi Mohamad masing-masing di tangga keempat dan kelima dengan 14 dan sembilan gol.
Sekiranya Rahman berjaya memintas Mbarga, beliau mengikut jejak penjaring terbanyak Liga A1 sebanyak dua musim, Abdul Azim Rahim.
Azim muncul penjaring terbanyak liga musim itu dengan 22 gol dan 24 gol pada musim 2023.