Penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini berpeluang bawa pulang hadiah motosikal jika menghadirkan diri ke Stadium Darul Aman bagi menonton aksi pra-musim di antara Kedah dan Melaka FC pada Sabtu (4 Mei).
Selain motosikal, 10 keping tiket Grandstand juga mampu dimenangi. Hadiah motosikal dan tiket grandstand itu disediakan untuk cabutan bertuah.
Memandangkan perlawanan menentang Melaka itu adalah aksi pra-musim terakhir buat Sang Kenari dan sebagai menghargai sokongan hebat penyokong, diskaun 50 peratus turut diberikan kepada para penyokong yang membeli tiket bagi aksi tersebut.
“Sebagai penghargaan kepada semua penyokong yang tidak putus-putus menyokong pasukan Sang Kenari, pihak pengurusan menawarkan harga tiket dengan diskaun 50 peratus dari harga asal untuk perlawanan Sabtu ini (menentang Melaka).
“Cabutan bertuah akan turut diadakan, dengan hadiah utama sebuah motosikal dan hadiah saguhati berupa 10 keping tiket Grandstand Liga Super di Stadium Darul Aman 24 Mei nanti,” umum KDA FC di laman Instagram.
Kedah dijadualkan membuka tirai saingan Liga Super 2024/25 dengan menentang PDRM FC pada 11 Mei yang bakal dilangsungkan pada 5.30 petang bertempat di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Bagi saingan musim lalu, Kedah menamatkan kedudukan di kedudukan keempat Liga Super dengan mengumpul 53 mata selepas 26 perlawanan yang dilalui.