Biarpun menelan kepahitan apabila melihat pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tewas besar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), seorang penyokong Kedah terkesima dengan layanan JDT ketika keluar dari Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Pemilik akaun Tiktok dan salah seorang penyokong Kedah, Haikal Amsyar telah memuatnaik video beliau dan penyokong-penyokong Kedah yang lain ketika sedang berjalan keluar dari stadium.
Kelihatan barisan keselamatan seperti sedang mengawal ketat perjalanan keluar penyokong-penyokong Kedah dan Haikal merasakan tindakan pihak keselamatan itu membuatkan beliau rasa seperti seorang VIP.
Bukan sahaja pihak keselamatan yang memainkan peranan, malah penyokong JDT turut bersorak memberi sokongan kepada penyokong Kedah.
“Kalah menang adat permainan, terima kasih penyokong JDT, marshal dan polis SSI.
“Keluar stadium pun macam VIP. Perlawanan seterusnya fokus Kedah bangkit. Lupakan sengketa, kita bangkit bersama,” coret Haikal Amsyar di laman Tiktok.
Ini jelas membuktikan bahawa tahap keselamatan di Stadium Sultan Ibrahim sentiasa berada di tahap yang terbaik dalam memastikan semua penyokong yang hadir pulang dalam keadaan yang selamat.
Dalam aksi Liga Super di antara JDT dan Kedah pada Jumaat, Kedah terpaksa akur tewas besar 0-6 kepada JDT dan ianya mengukuhkan lagi kedudukan JDT di persada liga.