Kekalahan 0-1 Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kepada pasukan Polis Diraja Malaysia FC (PDRM FC) semalam jelas sekali sukar untuk ditelan sebahagian penyokong Kedah yang menjangkakan kemenangan buat pasukan kesayangan mereka.
Rata-rata daripada mereka kurang berpuas hati dengan mutu pengadilan daripada pengadil utama perlawanan, Mohd Azizan Saat Ariffin. Dua layangan kad merah kepada Manuel Ott dan jurulatih Kedah, Nafuzi Zain menjadi bualan hangat di kalangan penyokong.
Manuel Ott dilayangkan kad merah pada minit ke-60 perlawanan selepas dikatakan menolak kepala pemain import PDRM, Fadi Awad Saleh yang memeluk erat bola tersebut. Manuel Ott yang mahu mendapatkan bola dari dakapan Fadi dilihat telah menolak kepala pemain impot dari Jordan itu.
Selang 10 minit selepas itu, Nafuzi pula dilayangkan kad merah selepas dilihat memeluk leher pegawai perlawanan keempat. Namun ada yang berpendapat Nafuzi cuba menyampaikan sesuatu kepada pengadil utama melalui mikrofon yang digunakan oleh pengadil keempat.
Selepas tamat perlawanan, sekumpulan penyokong dikatakan telah menunggu pengadil di luar stadium dengan kebanyakannya meluahkan kemarahan ke atas keputusan pengadil. Ianya sekali gus memaksa campur tangan pihak polis untuk mengawal keselamatan pengadil.
Keadaan dilaporkan kembali terkawal pada jam 11.30 malam.