Walaupun berjaya meledak banyak gol buat Penang FC pada musim lepas, namun khidmat pemain import dari Brazil, Lucas Espindola da Silva tidak lagi akan digunakan dan telah dilepaskan. Perkara tersebut diumumkan pengurusan Penang di laman Facebook mereka.
Ketiadaan Lucas ternyata memberikan seribu satu persoalan buat penyokong ‘Harimau Kumbang’ yang berharap agar mesin gol mereka itu dikekalkan bagi menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.
Segelintir penyokong Penang meluahkan isi hati mereka di ruangan komen Facebook Penang FC. Mereka berpendapat Lucas merupakan penyerang import terbaik yang pernah dimiliki skuad Penang dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Lucas membuktikan bahawa beliau merupakan penyerang berbisa dengan hampir setiap perlawanan Penang beliau berjaya meledak. Dengan ketiadaan Lucas musim hadapan, penyokong Penang berharap pihak pengurusan dapat merekrut penyerang import yang lebih baik dan lebih klinikal dari Lucas.

Lucas Masuk pada petengahan musim bagi mengisi tempat penyerang import Penang, Casagrande yang disahkan mengalami kecederaan jangka panjang dan tidak mampu beraksi sehingga tamat musim.
Walaupun mula beraksi di pertengahan musim, Lucas berjaya meledak 11 gol daripada 15 penampilan bagi semua pertandingan yang dilalui pasukan Penang. Selain Lucas, Penang juga melepaskan empat pemain import yang lain iaitu Endrick dos Santos, Casagrande, Hilal El-Helwe dan Christian Rontini.