Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) menyarankan agar penyokong pasukan bola sepak Perak untuk turut sama membantu dalam menyelesaikan kemelut kewangan yang sedang dihadapi pasukan Perak.
Setiausaha TBG Mobs, Hakimi Helmi menjelaskan bahawa sumbangan dari rakyat di Perak sedikit sebanyak dapat membantu pasukan The Bos Gaurus itu.
Menurutnya, Perak memiliki populasi penduduk dan rakyat yang sangat ramai. Jika seorang warga Perak secara sukarela mendermakan satu ringgit, jumlah yang terkumpul nanti mampu mencecah jutaan ringgit.
Hasil wang sumbangan ini selepas dibahagikan pasti dapat meringankan sedikit beban para pemain dan staf Perak FC yang terjejas.
“Kita ada lebih sejuta rakyat. Jika seorang hulur RM1, kita akan ada RM1 juta lebih. Dengan duit ini kita boleh bayar gaji pemain, pegawai pasukan dan persatuan yang ketika ini menghadapi kemelut tidak dibayar gaji antara dua hingga tujuh bulan.”
Peminat setia Perak FC itu menegaskan bahawa tidak salah untuk penyokong Perak berbakti demi menyelamatkan bola sepak Perak. Beliau merayu kepada setiap rakyat perak untuk sama-sama turut serta menghulurkan sumbangan.
“Bola sepak adalah permainan kegemaran utama rakyat Malaysia. Jadi apa salahnya rakyat berkorban demi masa depan bola sepak. Saya rayu kepada rakyat Perak supaya menghulurkan bantuan,” Hakimi.
Menurut Utusan Malaysia, TBG Mobs menjelaskan bahawa pihaknya terpanggil untuk melancarkan tabung bantuan ini selepas mengetahui keadaan pemain Perak terutamanya skuad Piala Presiden dan skuad Piala Belia yang tidak menerima gaji antara dua hingga tujuh bulan.