Penyokong Persis Solo memberi sokongan penuh kepada pengendali baharu kelab itu, Datuk Ong Kim Swee.
Pengendali berusia 53 tahun itu dibawa masuk pengurusan Persis sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya dari Bosnia-Herzegovina, Milomir Seslija.
Sentuhan bekas pengendali Sabah FC itu ditagih untuk membantu Laskar Sambernyawa keluar dari kelompok tercorot Liga 1 Indonesia musim 2024/25.
Meskipun Kim Swee baru saja menyertai Persis, beliau sedia menyahut cabaran untuk membawa pasukan itu mendaki kedudukan lebih baik dalam liga.
“Saya berharap dengan kehadiran saya dapat membawa impak positif bagi staf pelatih, pemain dan para penyokong. Keutamaan saya adalah membangun hubungan dengan para pemain, sekaligus bekerja untuk memperbaiki masalah yang ada pada permainan dan strategi pasukan.
“Hari ini, saya bergabung dengan para pemain dalam sesi latihan pertama saya, dan pada tanggal 3 Disember 2024, saya akan menghadapi Barito Putera dalam pertandingan perdana saya sebagai ketua jurulatih Persis Solo.
“Terakhir, saya berharap dengan bekerja bersama sebagai satu pasukan para penyokong, pemain, staf kejurulatihan dan seluruh pemegang taruh Persis Solo kita dapat memasuki babak baru dalam sejarah Persis Solo,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Sebaik hantaran itu dimuat naik, ramai penyokong Laskar Sambernyawa mengucapkan selamat berjaya kepada Kim Swee.
Salah seorang daripadanya ialah seorang pengguna Instagram bernama Tatiksatriya. Dia berharap Kim Swee dapat membantu Persis kembali meraih kemenangan.
“Bismillah, Coach bawa Persis Solo di jalur kemenangan lagi ya,” katanya di ruang komen Instagram Kim Swee.
Seorang lagi penyokong bernama Taufikfirgiawan23 turut senada dengannya. “Kita percayakan OKS (Ong Kim Swee,” ujarnya.
Selain mereka, seorang penyokong wanita bernama Sabrinaa_aul mendoakan semoga Persis lebih berjaya di bawah kendalian Kim Swee. “Semoga dipermudah (urusan), Coach. SAKJOSE,” katanya.
Seorang penyokong Sabah bernama Albertj_88 turut mengucapkan selamat berjaya kepada Kim Swee. Dia percaya sentuhan bekas pengendali Harimau Malaya itu dapat mengembalikan kecemerlangan Persis.
“Selamat berjaya, Datuk OKS (Ong Kim Swee). (Kita) sentiasa menyokong anda, Datuk,” ujarnya.
Kim Swee bakal membimbing pasukan itu menghadapi cabaran Barito Putera dalam aksi liga seterusnya pada 3 Disember ini.