Penyokong Selangor berpuas hati dan gembira melihat aksi Faisal Halim ketika bertemu Muangthong United dalam aksi AFC Champions League Two (ACL2) pada Khamis.
Faisal dibawa masuk oleh jurulatih, Katsuhito Kinoshi pada minit ke-81 bagi menggantikan tempat Ahmad Zikri Khalili dalam usaha Selangor untuk memburu gol penyamaan.
Walaupun hanya beraksi di 9 minit terakhir, namun kelibat Faisal sememangnya memberi ancaman buat Muangthong United yang mahu mempertahankan kedudukan ketika itu.
Larian dan hantaran Faisal berhasil membelah pertahanan lawan dan hampir mencemaskan Muangthong, malangnya peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan oleh Selangor.
Menurut penilaian dari laman Sofascore, aksi Faisal Halim dinilai setinggi 7.3, antara yang tertinggi selain Yohandry Orozco, Quentin Cheng dan kapten, Safuwan Baharudin.
Rata-rata peminat berpuas hati dan meluahkan rasa gembira apabila dapat kembali melihat kelincahan Faisal yang bangkit dari insiden hitam disimbah asid sekitar Mac lalu.
”Fuh, Mickey (Faisal Halim) padu. Kucar-kacir dibuatnya (pertahanan Muangthong),” tulis salah seorang peminat Selangor, Ikmal Sayari di Facebook.
”Sepanjang dia main, kawalan bola sangat mantap, terbaik Faisal Halim,” komen Jirol Rashid.
”Sikit (masa) sahaja lagi, Mickey (Faisal Halim) akan bersiu,” ujar penyokong Selangor, Fazly Eidy di ruangan komen.
”Faisal Halim masuk terus ada serangan, selepas ini kena masuk lebih awal. Baru best,” kata Aukz Ayobz.
Walau bagaimanapun, Selangor terpaksa akur tumbang di tangan Muangthong United pada aksi tersebut sekaligus memilih jalan sukar untuk mara ke pusingan kalah mati.
Skuad Gergasi Merah wajib mencatat kemenangan dalam aksi terakhir menentang DH Cebu sambil mengharapkan Muangthong United tewas atau seri berdepan Jeonbuk.