Pasukan Sri Pahang FC baru-baru ini telah membuat satu kenyataan mengenai pelantikan Christophe Gamel selaku ketua jurulatih pasukan menjelang sepak mula musim baharu tidak lama lagi.
Menerusi satu kenyataan rasmi di media sosial Sri Pahang, pasukan mengalu-alukan kehadiran Gamel selaku ketua jurulatih menerusi satu hantaran berbentuk video.
Jurulatih berpengalaman yang berasal dari Perancis ini menjawat jawatan selaku penolong ketua jurulatih kepada Thomas Dooley sebelum kedua-duanya membawa haluan masing-masing setelah Dooley direhatkan susulan persembahan kurang memuaskan pasukan.
Gamel pula telah dialihkan tugas untuk mengendalikan skuad Piala Presiden pasukan pada tahun lalu.
Namun begitu, usai pengumuman rasmi itu dibuat, terdapat ratusan komen yang membanjiri hantaran tersebut sambil menyatakan peluang harus diberikan secukupnya buat beliau untuk mengendalikan pasukan.
’Takut dua bulan je, kalah dua kali terus buang,’-Komen Mael Mohd pada hantaran tersebut.
Sungguhpun begitu, rata-rata penyokong setia pasukan Sri Pahang kekal teguh bersama pasukan dengan menyatakan sokongan secara terbuka dengan usaha pihak pengurusan untuk membawa masuk bekas jurulatih pasukan kebangsaan Fiji ini menjelang musim baharu.
Bukan itu sahaja, pelantikan Gamel mendapat persetujuan dan berharap agar beliau dapat mengembalikan era kegemilangan Pahang seperti suatu ketika dahulu dan menghadiahkan sekurang-kurangnya satu piala musim ini.
’Bawa balik satu piala, come on,’-Ujar Zikri Rahman dalam ruangan komen tersebut.
Dengan perancangan untuk membawa beberapa muka baharu untuk memperkuatkan pasukan, sudah pastinya Gamel sedia mempertaruhkan falsafah bola sepaknya untuk memacu kejayaan Sri Pahang.