Penyokong Terengganu FC menyahut kempen menggantung Israel daripada arena bola sepak.
Ini selepas akaun rasmi X Green Brigade atau kumpulan penyokong tegar Celtic, North Curve Celtic memuat naik gambar penyokong Peteh menyahut kempen tersebut.
Penyokong Terengganu dilihat bukan saja menaikkan sepanduk yang berbunyi “Layangkan Kad Merah Terhadap Israel”.
Malah, mereka turut menaikkan bendera gergasi Palestin dan tifo figura yang melayangkan kad merah sebagai solidariti terhadap kempen berkenaan.
Tifo dan sepanduk tersebut dinaikkan ketika aksi Liga Super antara Peteh dan Kuching City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 21 Februari lalu.
Sejak Green Brigade melancarkan kempen menyeru penggantungan Israel daripada arena bola sepak antarabangsa, semakin ramai penyokong kelab bola sepak menyatakan sokongan terhadap inisiatif itu.
Antara penyokong kelab yang menunjukkan solidariti mereka bersama Palestin ialah Alaves (Sepanyol), Osasuna (Sepanyol), CD Palestino (Chile), Bursaspor (Turkiye), Union Saint-Gilloise (Belgium) dan Esperance Sportive de Tunis (Tunisia).
Aksi pada 21 Februari lalu menyaksikan Terengganu diikat Kuching City 2-2.