Perak bergerak selangkah ke hadapan apabila menubuhkan Akademi Bola Sepak Perak FC bagi mencungkil bakat-bakat muda dalam kalangan kanak-kanak Perak.
Akademi tersebut baru sahaja dilancarkan pada 3 Februari lalu dan memfokuskan kanak-kanak yang berusia 7 hingga 15 tahun.
Padang Taman Dr. Seenivasagam di Ipoh menjadi lokasi utama sesi latihan akademi tersebut dijalankan.
Penubuhan akademi ini pastinya merancakkan lagi industri bola sepak tempatan dalam melahirkan lebih ramai pemain bola sepak profesional dan menyerlahkan bakat-bakat muda di Perak.
Menerusi perkongsian di laman media sosial Perak FC, sesi penyertaan akademi tersebut meraih reaksi positif apabila ramai ibubapa yang mendaftarkan anak-anak mereka di akademi tersebut.
Yuran pendaftaran akademi adalah sebanyak RM180 dimana setiap peserta bakal mendapat jersi, seluar pendek, sepasang stokin dan dua set simkad OneXOX manakala latihan terbahagi kepada tiga kategori berdasarkan bayaran mingguan, bulanan atau semusim.
Akademi Bola Sepak Perak FC kini bakal menjadi salah satu pilihan anak muda tempatan yang meminati sukan bola sepak selain daripada Akademi Mokhtar Dahari, Akademi JDT dan juga Akademi Bola Sepak Villarreal Malaysia.