Perak FC dijangka bakal menerima pemilik baharu apabila Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah mendedahkan terdapat beberapa pihak yang berminat untuk mengambil alih kelab tersebut. Namun identiti pihak tersebut belum didedahkan walaupun sudah berlaku perbincangan antara kedua-dua belah pihak.
Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd iaitu pemilik Perak FC memaklumkan bahawa pihak pengurusan kelab masih menunggu Surat Tunjuk Minat (LOI) daripada pihak yang berminat untuk mengambil alih kelab tersebut menurut laporan Sinar Harian.
“Prosedurnya sama macam seperti ketika IMC ambil alih Perak FC daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA). Kami tunggu mereka serahkan LOI, kemudian kami akan buat due diligence bagi pastikan pihak berkenaan memiliki kewangan yang kukuh.” ujar Muhammad Yunus Zakariah kepada Sukan Sinar.
Pihak Perak FC perlu memastikan pihak yang berminat untuk membeli kelab tersebut mempunyai kewangan yang stabil sebelum mengajukan kepada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi memohon kelulusan MFL.
Jika pengambilalihan ini berjalan lancar, Perak FC berkemungkinan bakal berwajah baharu sekali lagi malah terdapat kemungkinan bahawa logo kelab akan dikemaskini lagi ekoran penerimaan pemilik baharu.