Piala Dunia
CBS Sports Golazo
Advertisements

Perancis menepati ramalan sebagai pasukan pilihan Piala Dunia 2022 dengan menyingkirkan Maghribi di peringkat separuh akhir. Dengan kemenangan ini, Les Bleus bakal berdepan Argentina di pentas final.

Babak pertama menyaksikan Perancis terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Theo Hernandez pada minit kelima. Hantaran penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann mencetuskan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Maghribi. Walaupun pertahanan Singa Atlas berjaya menyekat percubaan Kylian Mbappe, percubaan susulan Hernandez mudah menewaskan penjaga gol Yassine Bounou.

Maghribi kemudiannya menguji kecekapan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris dengan percubaan Azzedine Ounahi pada minit ke-10. Bagaimanapun, percubaan pemain Angers itu berjaya ditepis Lloris. Tujuh minit selepas itu, Soufiane Boufal melepaskan Hakim Ziyech tetapi pemain sayap Chelsea itu tergelincir semasa melepaskan rembatan sekaligus melegakan pertahanan Perancis.

Advertisements

Seminit selepas itu, Olivier Giroud hampir menggandakan jaringan selepas berjaya mengatasi bekas bek tengah Wolves, Romain Saiss. Malangnya, sepakan bekas penyerang Arsenal itu terkena tiang walaupun berjaya menewaskan Bounou. 18 minit kemudian, Aurelien Tchouameni membuat satu larian dari bahagian tengah sebelum melorongkan bola kepada Mbappe. Penyerang PSG itu melepaskan rembatan ke arah gol Maghribi tetapi ia berjaya dikeluarkan oleh bek tengah Valladolid, Jawad El Yamiq.

Jawad El Yamiq Maghribi Piala Dunia 2022 France 24 English Perancis Singkirkan Maghribi, Lawan Argentina Di Final Piala Dunia
Percubaan El Yamiq cetus huru-hara dalam kalangan pertahanan Perancis pada minit ke-44. Gambar: France 24 English

Pada minit ke-44, Maghribi hampir menyamakan kedudukan menerusi El Yamiq. Hantaran Ziyech mencetuskan kelam-kabut dalam kalangan pertahanan Les Bleus sebelum El Yamiq melakukan sepakan basikal ke arah gol Perancis. Tetapi malangnya, percubaan bek tengah Valladolid itu terkena tiang sebelum bola terkeluar dari permainan. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Singa Atlas terus menguji pertahanan Les Bleus yang diketuai bek tengah Manchester United Raphael Varane. Hantaran pada minit ke-53 kepada Youssuf En-Nesyri berjaya dikeluarkan Perancis sebelum penyerang Sevilla itu menolak bola mudah melepasi Lloris. Empat minit selepas itu, Ounahi cuba menceroboh pertahanan Les Bleus tetapi pergerakannya berjaya disekat Griezmann sebelum melarikan bola dari kawasan bahaya.

Advertisements
Randal Kolo Muani mudah tolak bola Mbappe untuk gol kedua Les Bleus. Gambar: France 24 English.

Dengan Maghribi memburu gol penyamaan, Perancis tahu mereka perlu menjaringkan gol kedua. Hasilnya, pemain gantian Randal Kolo Muani mudah menolak masuk hantaran bola Mbappe pada minit ke-79 bagi melebarkan kelebihan Les Bleus ke atas Singa Atlas. Maghribi terus cuba mencari gol bagi merapatkan jurang tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan ini, Perancis kembali ke pentas final Piala Dunia selepas melakukan perkara sama di Rusia empat tahun sebelumnya. Begitupun, usaha mereka untuk mengekalkan kejuaraan Piala Dunia bukan mudah dengan Argentina mahu memenangi Piala Dunia buat kali ketiga dan sebagai hadiah perpisahan kepada kapten Lionel Messi. Justeru, Les Bleus perlu bekerja keras bagi membolehkan mereka menjulang trofi buat kali ketiga pada 18 Disember ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram