Percaturan bijak yang direncana jurulatih Sepanyol, Xisco Munoz membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kelebihan dalam aksi terbaru Kumpulan B Shopee Cup.
Pada awalnya, JDT ketinggalan kepada tuan rumah, Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) menerusi gol sendiri Rui Nene seawal minit ketiga.
Lebih parah, tuan rumah yang dibimbing bekas jurulatih Thailand, Mano Polking banyak memerangkap Harimau Selatan. Situasi ini memaksa Munoz membuat pertukaran segera pada minit ke-27.
Bekas jurulatih Watford itu mengambil langkah radikal dengan memasukkan tiga pemain gantian. Munoz membawa masuk Jairo da Silva, Oscar Arribas dan Ager Aketxe menggantikan Shahab Zahedi, Dani Bolt dan Nene.
Percaturan jurulatih Sepanyol itu membuahkan hasil apabila JDT kemudiannya mendahului pada separuh masa kedua.
Arribas menceriakan kem pelawat dengan gol penyamaan pada minit ke-50. Ini disusuli gol kedua JDT menerusi pemain sayap Brazil, Marcos Guilherme.
Setakat ini, JDT masih mendahului 2-1 dengan perlawanan kini berbaki 19 minit lagi. Jika JDT menang, mereka dapat mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Shopee Cup.


