Aksi Memukau Partiban Janasekaran
Pemain berumur 26 tahun ini membuktikan beliau layak diberi perhatian oleh peminat bola sepak Malaysia. Aksinya yang lincah dibahagian kiri dan kanan Perak sedikit sebanyak menggusarkan pertahanan pasukan Kedah. Beberapa kali Partiban berjaya membawa bola ke kawasan bahaya untuk menghasilkan jaringan.
Ifwat Akmal Pemain Terbaik Perlawanan
Walaupun digelar berat, berbadan besar dan tidak sesuai menjadi penjaga gawang utama Kedah, Ifwat membuktikan keupayaanya pada perlawanan kali ini. Ifwat berjaya mengawal gawang Kedah dari dibolosi dengan serangan tanpa henti pasukan Perak.
Sebelum ini netizen juga menyoal pilihan Tan Cheng Ho yang memanggil Ifwat ke dalam skuad Kebangsaan semasa kempen kelayakan Piala Dunia.
Pada perlawanan ini, Ifwat dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan. Tahniah kami ucapkan.
Kualiti Pengadil Jepun
Mungkin segelintir peminat bola sepak berfikir tiada impak besar dapat dilakukan dengan memanggil pengadil dari luar negara. Namun pada perlawanan kali ini kita disajikan dengan perlawanan yang lancar dari barisan pengadil dari Jepun ini.
Tiada kontroversi berlebihan dan pemain ternama juga seolah-olah tunduk dengan semua keputusan pengadil dari Jepun ini.
Tindakan FAM dan MFL membawa 3 pengadil dari Jepun ini membuka mata rakyat Malaysia tentang kualiti pengadil dari Malaysia yang lemah dan penuh dengan kontroversi.
Prestasi ‘YOYO’ Brendan Gan
Kita kerap melihat saranan sebahagian peminat bola sepak yang ingin Tan Cheng Ho memanggil Brendan Gan ke dalam skuad kebangsaan, namun aksinya pada final kali ini agak mengecewakan.
Prestasi Brendan Gan tidak konsisten sejak beliau pulih dari kecederaan ACL beberapa bulan lalu dan aksi kali ini jelas menunjukkan beliau belum sedia untuk dipanggil ke kem kebangsaan.
Fayadh Layak Diberi Perhatian
Fayahd Zulkifli yang baru berumur 20 tahun membuktikan yang beliau bakal menjadi seorang pemain berskil tinggi yang unik di Malaysia suatu hari nanti seperti Akhyar dan Safawi.
Aksinya menggelecek pihak lawan berjaya memukau penonton dan Fayadh juga mempunyai daya sepakan deras yang kuat dan tepat.