Safiq Rahim: Dominasi Lebih Sedekad JDT Bukan Kebetulan
MakanBola
Instagram: @officialjohor

Kenyataan tegas daripada Safiq Rahim sekali lagi mencuri perhatian apabila beliau mempertahankan dominasi Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dalam bola sepak tempatan, susulan kejayaan pasukan itu mara ke satu lagi final Piala Malaysia.

Dalam hantaran terbarunya di Instagram Story, Safiq tidak berselindung menyuarakan pandangan terhadap pihak yang masih cuba mempertikaikan kejayaan Harimau Selatan. Beliau berkata:

“Tahniah saya ucapkan kepada pasukan JDT kerana layak ke satu lagi final Piala Malaysia. Tahniah saya ucapkan. Memang satu kuasa yang tidak boleh dinafikan.”

“Sebelum ada pihak nak mengatakan JDT dominan di atas sebab yang bukan-bukan, saya ingin ingatkan bahawa JDT sudah 11 tahun dominan di Liga Malaysia.”

“Sebelum musim ini pun dah dominan dan menang bertahun-tahun. Tak perlu nak cari alasan untuk downplay kejayaan JDT. Kami mula menang tahun 2014, bukan musim ini dan bukan musim lepas sahaja. Dah lebih satu dekad. Jadi terimalah kenyataan, dominasi itu tetap dari dahulu.”

Kenyataan tersebut jelas membawa mesej bahawa kejayaan JDT bukanlah sesuatu yang bersifat sementara. Apa yang cuba ditegaskan oleh Safiq ialah dominasi itu telah lama wujud, malah sudah menjadi satu “standard” dalam Liga Malaysia sejak lebih sedekad lalu.

Jika diteliti semula, tahun 2014 sememangnya menjadi titik tolak kebangkitan JDT sebagai kuasa baharu bola sepak negara. Sejak itu, mereka bukan sahaja konsisten menjulang trofi, malah berjaya mengekalkan tahap prestasi yang sukar ditandingi oleh kelab lain. Justeru, apabila ada pihak cuba mengaitkan kejayaan ini dengan faktor luar atau alasan tertentu, Safiq melihatnya sebagai sesuatu yang tidak adil.

Kenyataan asal Safiq boleh difahami sebagai satu peringatan bahawa dominasi JDT bukan dibina dalam satu atau dua musim, tetapi melalui proses panjang yang penuh dengan perancangan, pelaburan dan disiplin tinggi. Ia bukan sekadar soal menang, tetapi bagaimana kemenangan itu dikekalkan dalam tempoh yang panjang.

Dalam nada yang lebih tersirat, beliau juga menyeru agar kejayaan tersebut dihormati sebagaimana adanya. Dalam bola sepak, setiap pasukan mempunyai kitaran naik dan turun, namun apa yang dilakukan JDT adalah melangkaui kebiasaan, mereka berjaya kekal di puncak untuk tempoh yang luar biasa lama.

Realitinya hari ini, JDT bukan lagi sekadar juara, tetapi simbol dominasi dalam bola sepak Malaysia. Dan seperti yang ditegaskan oleh Safiq Rahim, hakikat itu bukan baru bermula, ia sudah lama terbina, dan terus kekal sehingga kini.