Berbaki dua bulan sebelum saingan Liga Super 2024/2025 bermula, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) difahamkan sedang menilai beberapa pasukan untuk menyertai saingan kasta tertinggi bola sepak Malaysia itu.
Melalui satu hantaran daripada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, pasukan Perlis United menjadi salah satu calon untuk menyertai Liga Super pada musim baharu kelak.
Namun begitu, Perlis perlu menjalani satu sesi temuduga yang dikendalikan MFL terlebih dahulu bagi permohonan lesen extraordinary ke Liga Super.
“Perlis salah satu daripada 4 pasukan yang bakal menjalani sesi temuduga dengan MFL bagi permohonan lesen extraordinary ke liga super pada Isnin.
“Lagi 3 pasukan – 3 terbaik dalam saingan Liga M3 musim 2023 (Imigresen FC, KL Rovers dan Harini FT),” coret Fina Nasrom di laman X milik beliau.
Keputusan daripada temuduga itu yang bakal menentukan sama ada Perlis akan beraksi di saingan Liga Super ataupun kekal beraksi di Liga M3 bagi musim baharu.
Untuk rekod, Perlis United telah menamatkan saingan Liga M3 musim 2023 dengan menduduki tangga ke-8 selepas merekodkan 32 mata selepas 24 perlawanan.
Imigresen FC yang menjadi juara Liga M3 musim 2023 disebut-sebut sebagai calon utama untuk ke Liga Super namun Pengarah Teknikal Imigresen FC, Datuk Zainal Abidin Hassan berpendapat pasukan tersebut masih belum bersedia untuk menghadapinya.