Kegagalan pasukan Harimau Malaya untuk mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2020 kekal menjadi buah mulut pencinta bola sepak negara.


Pemerhati bola sepak negara, Serbageth Singh atau Shebby berpendapat langkah drastik perlu dilakukan bagi memperbaiki prestasi skuad bola sepak negara pada masa akan datang.


“Dengan apa yang terjadi kepada pasukan negara ketika ini, saya rasa kita perlu barisan kejurulatihan baharu. Kita kena pandang ke luar sebab sudah terlalu lama berada di dalam.

“Tengok macam mana yang dilakukan Vietnam, Indonesia, Thailand dan Singapura yang berjaya melangkah ke separuh akhir. Kalau kita masih mengharap kepada tempatan jadi kita juga masih akan berada ditakuk lama,” ujarnya.


Selain itu, Shebby juga berpendapat pasukan negara perlu dibarisi pemain-pemain muda yang ghairah untuk beraksi dan membawa kejayaan pada pasukan kelak.

“Kalau kita lihat, Vietnam di bawah kendalian Park Hang-seo bermula dengan pemain bawah usia 23 tahun. Begitu juga dengan Thailand ketika dibimbing Kiatisuk Senamuang,” jelas Shebby kepada Sukan Sinar.


Mengikut rekod, pada tahun 2010 kita juga telah memenangi Piala AFF di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal. Perlu diingatkan pada ketika itu, skuad kita dibarisi majoriti pemain bawah-23. Bermakna, kita pernah lakukannya dan kita perlu bermula semula.