Pengadil dari Australia, Christopher Beath telah menerima pengiktirafan dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam Anugerah AFC 2022 bagi kategori Anugerah Khas Pengadil.
Selain Beath, anugerah tersebut juga diberikan kepada dua lagi pembantu pengadil dari Australia iaitu Ashley Beecham dan Anton Shchetinin. Manakala bagi video bantuan pengadil (VAR) diberikan kepada pengadil dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ammar Aljneibi.
Anugerah yang diraih Beath itu sudah pasti sangat bermakna buat dirinya yang baru mengumumkan persaraan beliau pada 1 Jun yang lalu. Antara pencapaian terbesar Beath adalah mengadili perlawanan Piala Dunia Qatar 2022 di antara Poland dan Mexico.
Namun begitu, Beath juga tidak lekang daripada kontroversi dari segi mutu pengadilan. Pada 2017, Beath pernah dibaling botol oleh segelintir penyokong Harimau Malaya yang tidak berpuas hati dengan keputusannya pada aksi Kelayakan Piala Asia di antara Malaysia dan Hong Kong.
Dalam perlawanan yang panas itu, Beath menghadiahkan sepakan penalti kepada Hong Kong pada waktu kecederaan. Pada ketika itu, kedudukan sedang terikat 1-1. Pemain Malaysia, Aidil Zafuan yang berang dengan keputusan telah dilayangkan kad kuning kedua dan diperintahkan keluar padang.
Mujur sepakan penalti yang diambil pemain Hong Kong berjaya diselamatkan penjaga gol Malaysia, Hafizul Hakim. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Beath terpaksa diiring keluar dari padang selepas tamat perlawanan gara-gara kemarahan penonton yang hadir.
Untuk rekod, Beath kini merupakan salah seorang pengadil paling berjaya di Australia selepas mengadili sebanyak 234 perlawanan Liga Australia selain acap kali dilantik sebagai pengadil perlawanan di kejohanan-kejohanan utama di asia.