Baru-Baru ini, penyokong bola sepak tanah air telah dimaklumkan mengenai berita perpindahan pemain tengah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi yang bakal beraksi di Liga Super India (ISL).
Menurut kenyataan oleh Zulhelmi Zainal Azam, urusan Liridon dilaporkan sudah selesai apabila beliau telah menyertai sebuah kelab di India iaitu Odisha FC.
Berita mengenai perpindahan pemain naturalisasi Malaysia ini telah dilaporkan oleh media di sana sejak beberapa minggu selepas difahamkan beliau tidak menerima sebarang tawaran daripada pasukan Liga Thailand setelah jendela perpindahan ditutup.
Sungguhpun begitu, perpindahan ini boleh dilihat daripada beberapa aspek yang bakal menguntungkan bukan sahaja Liridon malah persiapan pasukan kebangsaan bagi menghadapi beberapa siri perlawanan persahabatan dan juga kejohanan seperti Piala AFF Suzuki yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Tambahan pula, pemain kelahiran Yugoslavia ini mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia yang kurang memberangsangkan bersama pasukan negara.
Persembahan beliau juga menerima kritikan memandangkan harapan yang tinggi diletakkan oleh peminat tanah air kepada pemain naturalisasi negara termasuklah Mohamadou Sumareh dan juga Guilherme De Paula.
Penyertaan bekas bintang Kedah Darul Aman FC ini bakal memberikan persediaan yang secukupnya buat Liridon untuk terus mendapatkan minit permainan seterusnya mempamerkan kebolehan sebenar beliau.
Kehadiran pemain yang mesra disapa ‘Matdon’ ini sememangnya menjadi aset penting buat Harimau Malaya. Beliau yang mempunyai elemen fizikal dan juga kebolehan untuk memegang bola dengan baik dilihat amat penting oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dalam merencanakan taktikal di atas padang.
Selain itu, pemain tinggi lampai ini mempunyai rekod yang baik ketika beraksi di Kedah. Sepanjang 3 musim berkelana di sana, Matdon telah berjaya menjaringkan 38 gol dan 52 bantuan gol hanya dalam 105 perlawanan.
Rekod ini membuktikan bahawa beliau mempunyai kebolehan dan kualiti untuk mengetuai jentera tengah pasukan negara.
Sungguhpun begitu, pemain berusia 29 tahun ini tidak mendapat menonjolkan potensi dan bakatnya apabila hanya diturunkan sebanyak 9 kali ketika beraksi secara pinjaman di Newcastle Jets.
Hal ini sekaligus menyebabkan kurangnya persediaan yang mencukupi untuk membolehkannya beraksi dengan baik. Sambil itu, dengan persembahan yang memberangsangkan oleh pemain-pemain tempatan lain yang beraksi di Liga Super pastinya menyukarkan lagi peluang beliau untuk merebut slot dalam skuad kebangsaan.
Oleh yang demikian, perpindahan ini diharapkan mampu untuk menjadi medan terbaik buat Liridon untuk menempa nama di luar negara. Semoga beliau dapat menemui semula rentak permainan ampuh seperti ketika beliau menyarung jersi Kedah suatu ketika dahulu.
Potensi dimiliki Liridon Krasniqi kelak bakal memberikan Malaysia tenaga ‘baharu’ seperti diharapkan penyokong sekiranya beliau mampu membuktikan kemampuannya di India.