Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tajikistan, Petar Sergt mula melancarkan perang psikologi selepas menyatakan esok merupakan detik terbaik buat Malaysia mencatatkan kemenangan berdepan pasukannya.
Jurulatih kelahiran Croatia itu diduga dengan keadaan yang tidak mengizinkan selepas kurang sihat dalam tempoh beberapa hari.
Hal ini menyebabkan beliau terlepas peluang untuk menonton aksi Malaysia berdepan India namun sudah pun melakukan analisis berkenaan pasukan kebangsaan.
“Saya sudah pun menonton aksi Malaysia dan India melalui video. Malaysia bermain dengan baik dan pasukan kamu juga memiliki barisan pemain yang baik.”
“Dari segi kualiti untuk perlawanan ini, anda lebih bagus. Di Malaysia, anda tidak perlu malu kalau kalah tidak seperti India. Di Thailand, kami tewaskan anda tetapi di sini, kami ketiadaan pemain-pemain utama kami. Jadi, esok kita akan melihat bagaimana atmosfera (perlawanan).”
Beliau juga tidak dapat membariskan kesebelasan terbaik buat pasukan ke-110 dunia itu selepas seramai 15 pemain tidak dapat dibawa kerana tidak mendapat pelepasan kelab.
“Pasukan ini tidak sama seperti menentang Malaysia tahun lalu, saya membawa skuad termuda dengan purata umur 21.1 pada kejohanan ini.”
“Saya tahu kamu sudah buat yang terbaik untuk bola sepak Malaysia, tetapi saya tidak akan memberikan piala ini dengan mudah kepada kamu,” jelasnya pada sidang media pra perlawanan.
Beliau juga meminta agar rakyat Malaysia mendoakan penyerang berbisa pasukan Tajikistan, Manu Jalilov yang menghidap kanser.
Malaysia akan turun berdepan Tajikistan pada 17 Oktober 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.