Eropah

Peter Cklamovski Jurulatih Terbaik Dua Kali Berturut-Turut Di England

Cklamovski Salford City FC 5 Peter Cklamovski Jurulatih Terbaik Dua Kali Berturut-Turut Di England
Salford City FC
Advertisements

Sentuhan bekas jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski terus mendapat pengiktirafan di England.

Terbaru, jurulatih Australia berusia 48 tahun itu dipilih sebagai Pengurus Terbaik Bulan Oktober oleh Liga Bola Sepak Inggeris (EFL).

Cklamovski menggondol anugerah tersebut selepas membantu Salford meraih enam kemenangan berturut-turut dalam liga pada bulan berkenaan.

Keputusan itu membolehkan Salford muncul pendahulu Liga Dua (divisyen empat England) dengan 31 mata. Pencabar terdekat, Barnet mengumpul 26 mata.

Ini kali kedua Cklamovski dipilih pengurus terbaik bulanan oleh EFL. Sebelum ini, beliau juga dipilih sebagai Pengurus Terbaik Bulan September.

Prestasi baik bekas pengendali FC Tokyo itu turut menarik perhatian penggiat bola sepak Australia.

Ini terbukti apabila namanya antara nama yang dicanang legenda Australia, Mark Schwarzer sebagai calon berpotensi menggantikan jurulatih skuad negara itu, Tony Popovic.

Popovic bakal meninggalkan The Socceroos pada awal tahun hadapan. Sebelum ini, beliau memeterai kontrak dengan Australia sehingga kempen Piala Asia 2027.

Selepas Piala Asia 2027 ditangguhkan sehingga Disember tahun hadapan atas sebab keselamatan, ini mengundang tanda tanya tentang status Popovic.

Nama beliau turut dikaitkan sebagai calon berpotensi mengisi kerusi panas di salah satu kelab lamanya di England, Crystal Palace.