ACL

Phnom Penh Crown Tak Percaya Kalah 3-0 Lawan Kuching City

Kuching Phnom ACL Phnom Penh Crown Tak Percaya Kalah 3-0 Lawan Kuching City
Kuching City FC

Wakil Kemboja, Phnom Penh Crown FC tidak percaya mereka layak tewas 3-0 kepada Kuching City FC dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026/27 di Stadium Taha Ariffin, Kuching, hari ini.

Advertisement

Phnom Penh itu datang ke Kuching sebagai pendahulu kumpulan dengan sembilan mata hasil empat perlawanan. Mereka juga pernah menewaskan The Cats 2-1 pada aksi pembukaan di Stadium Nasional Morodok Techo pada 17 September lalu menerusi dua gol Moses Dyer. Kali ini, giliran skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak membalas dendam di laman sendiri.

Ketua jurulatih Phnom Penh Crown, Oleh Starynskyi menyifatkan kekalahan itu terlalu besar berbanding corak permainan sebenar pasukannya.

Tuan rumah lebih menguasai babak pertama sebelum Safawi Rasid membuka jaringan pada minit ke-32, tetapi jurulatih kelahiran Ukraine itu menegaskan anak buahnya bangkit selepas rehat.

“Saya tidak fikir kami layak tewas 0-3. Pada separuh masa kedua, kami menyusun semula permainan dengan baik, mula menyekat serangan mereka dan mencipta beberapa peluang berbahaya.”

“Menerusi salah satu serangan balas mereka menjelang penghujung perlawanan, kami dibolosi dengan gol kedua yang agak sukar untuk diterima,” katanya lagi.

Gol kedua itu dijaringkan oleh pemain gantian Jerome Mpacko hasil hantaran Ajdin Mujagic, tidak lama selepas beliau dimasukkan ke padang. Dylan Wenzel-Halls kemudian menyempurnakan kemenangan 3-0 pada masa kecederaan.

Phnom Penh Crown sebenarnya berpeluang menyamakan kedudukan pada babak pertama, tetapi percubaan Dyer dalam situasi satu lawan satu berjaya ditepis penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.

“Walaupun begitu, kami terus berusaha dan cuba terus mencari peluang untuk mencipta kebangkitan namun ia tidak kesampaian sebab itu saya berpendapat keputusan 0-3 agak keterlaluan bagi perlawanan ini,” katanya.

Meskipun tewas, Phnom Penh Crown kekal di puncak Kumpulan H dengan sembilan mata. Kuching City dan Gangwon FC sama-sama mengumpul tujuh mata, manakala Kitchee SC di tempat tercorot dengan lima mata.

Pada aksi terakhir kumpulan pada Khamis, 3 Disember ini, Phnom Penh Crown akan menjadi tuan rumah kepada Gangwon FC, manakala Kuching City bertandang ke Stadium Mong Kok untuk menentang Kitchee SC.

Kedua-dua perlawanan dijadual bermula pada pukul 8.15 malam waktu Malaysia, dan hanya dua pasukan teratas akan mara ke pusingan 16 terbaik.

Percuma untuk pembacaTnG Money Packet PercumaMenyemak Money Packet...
--baki
Memuatkan...