Skuad negara mungkin kehilangan dua mata dalam aksi pembukaan Piala AFF Mitsubishi Electric, jika tidak kerana kecemerlangan Ahmad Syihan Hazmi menyelamatkan sepakan penalti Myanmar pada minit ketiga masa kecederaan.
Syihan menduga dengan tepat apabila terbang ke kiri gawangnya untuk menafikan percubaan Myat Kaung Khant sekaligus membantu Harimau Malaya mempertahankan kelebihan 1-0 jaringan Faisal Halim sehingga wisel penamat.
Andai Myanmar berjaya mendapatkan gol penyamaan, pemain pertahanan Sharul Nazeem Zulpakar pastinya individu yang paling merasa bersalah memandangkan dia adalah punca sepakan penalti itu diberikan Ahmad Faisal Al Ali.
Sambil berterima kasih kepada Syihan, Sharul Nazeem yang lebih mesra dengan panggilan Afro menyatakan bahawa dia tidak tahu kenapa sepakan penalti itu diberikan kerana menurutnya tiada kesalahan yang dilakukannya.
“Pertama sekali saya tak sangka dengan keputusan yang dibuat pengadil, sebab bagi saya mungkin pandangan pengadil itu terkena tangan. Tapi bagi saya tak tahulah, sebab saya tak nampak benda itu (bola terkena tangan).
“Apapun saya akui ada kelemahan yang perlu saya perbaiki, saya juga berterima kasih semua rakan sepasukan terutamanya Syihan, ujarnya kepada Arena Metro.
Sejurus tamat aksi pertama, kebimbangan terbesar di kem Malaysia adalah kecederaan dialami seorang lagi tonggak pertahanan, Khuzaimi Piee. Jika pemain itu tidak sempat pulih, Kim Pan-gon tidak mempunyai banyak pilihan selain perlu menyandarkan kepada Sharul Nazeem dan Dominic Tan.
Malaysia selepas ini akan berdepan Laos di gelanggang sendiri dalam aksi kedua Piala AFF pada Sabtu.
Laos membuka kempen Kumpulan B dengan kekalahan besar 0-6 kepada Vietnam.