Advertisements
Piala Belia: JDT & Terengganu Selangkah Ke Final
Piala Belia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Skuad Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) IV dan Terengganu FC IV selangkah ke final Piala Belia 2024.

Ini selepas kedua-dua pasukan meraih kemenangan ke atas lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir pertama Piala Belia 2024.

Meskipun beraksi di tempat lawan, itu bukan halangan buat skuad muda Harimau Selatan menewaskan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 16 Tahun (B-16) 3-1.

Aksi ini disifatkan sengit kerana kedua-dua pasukan memiliki ramai pemain Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17). Ini termasuk penjaring terbanyak JDT IV, Abid Safaraz Rozaidi dan Adam Mustaqim Ahmad Amran (AMD B-16).

Izzuddin Afif Nazarudin membuka tirai jaringan seawal minit kedua. Dua gol Abid Safaraz dan Daniesh Amirruddin memastikan JDT IV meraih kelebihan di Gambang.

Dengan kelebihan tiga gol yang dibawa ke Johor untuk aksi separuh akhir kedua pada 9 November, JDT IV dijangka mempertahankan kelebihan tersebut untuk menempah tiket final.

Sementara dalam satu lagi aksi, Terengganu IV meraih kemenangan 2-0 ke atas Selangor FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Aksi ini menemukan dua penjaring terbanyak kedua-dua pasukan iaitu Arsyad Shamsul Aswadi (Terengganu IV) dan Hatif Irfan Che Hamizi (Selangor).

Kelebihan beraksi di tempat sendiri dimanfaatkan Terengganu IV yang dibimbing Wan Adremy Indra Wan Adnan untuk menyumbat dua gol menerusi Arsyad dan Danial Imrani Salleh.

Selangor yang dibimbing Khushairi Abdul Wahab perlu menang dalam aksi separuh akhir kedua pada 9 November ini jika ingin mara ke final Piala Belia 2024.