Piala Dunia 2026: “England Nasib Baik” – Thomas Tuchel
MakanBola
England

Thomas Tuchel mengakui England “bernasib baik” selepas melangkah ke separuh akhir Piala Dunia FIFA menerusi kemenangan 2-1 ke atas Norway selepas masa tambahan, namun tidak berpuas hati dengan persembahan pasukannya.

BBC Sport menerusi ciapan X memetik kenyataan Tuchel yang mengakui England menjadikan perlawanan lebih sukar untuk diri sendiri meskipun berjaya mencapai separuh akhir.

“Saya tidak pernah bercakap tentang kami perlu menderita. Saya tidak pernah melakukannya. Hari ini kami menjadikan keadaan sangat, sangat sukar untuk diri sendiri.” kata Thomas Tuchel kepada ITV.

“Keputusan ini sangat hebat. Kami berada dalam kelompok empat pasukan terakhir. Ia sesuatu yang menakjubkan, tetapi tidak gembira dengan persembahan kami dalam setiap aspek.” sambungnya.

Fabrizio Romano turut berkongsi kenyataan Tuchel menerusi ciapan X apabila pengendali England itu mengakui pasukannya bernasib baik selepas gagal mempamerkan persembahan terbaik.

“Komitmen pemain memang ada tetapi kami menyukarkan diri sendiri melalui cara kami bermain dan bagaimana kami bermain sambil lewa, banyak kesilapan teknikal, tidak cukup pantas, tidak cukup konsisten. Kami bernasib baik hari ini.” ujar pengendali England itu.

Mengenai persoalan sama ada persembahan tersebut berpunca daripada mentaliti pemain, Tuchel menolak dakwaan itu dan menegaskan aspek kualiti permainan perlu diperbaiki.

“Saya tidak tahu. Ia bukan mengenai mentaliti. Ini bukan tentang mentaliti. Anda boleh membotolkannya dan menjualnya. Ia mengenai kualiti, kami perlu bermain lebih baik.” jelasnya.

Tuchel turut memberikan pujian kepada pemain gantian seperti Reece James, Morgan Rogers, Eberechi Eze dan Djed Spence yang memberikan impak selepas dimasukkan.

“Reece James sangat baik. Morgan Rogers sangat hebat hari ini. Prestasi Eberechi Eze dan Djed Spence semakin baik dalam permainan. Mereka layak mendapat pujian ramai. Secara keseluruhan kami bernasib baik hari ini.” kata pengurus England itu.

Jude Bellingham sekali lagi menjadi watak utama England selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan tersebut, termasuk jaringan kemenangan pada masa tambahan.

“Tidak banyak yang perlu dikatakan. Beliau melakukannya dalam setiap perlawanan. Bertaraf dunia.” pendapat Thomas Tuchel mengenai Bellingham.

England kini akan membuat persiapan untuk aksi separuh akhir menentang pemenang perlawanan Argentina atau Switzerland pada 16 Julai.

“Kami akan menjadi lebih baik. Kami perlu. Sekarang masa untuk meraikan. Sekarang masa untuk menikmati semuanya. Kami mempunyai tiga hari. Kami perlukan segala-galanya.” kata akhir beliau.