Advertisement
Piala Dunia U17: Perancis Mudah Atasi Burkina Faso
Piala Dunia
MakanBola
FIFA

Perancis memulakan kempen Kumpulan E dengan bergaya menerusi kemenangan 3-0 ke atas Burkina Faso di Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) hari ini.

Perancis turun dengan misi meraih tiga mata awal dalam Kumpulan E. Selain mereka dan Burkina Faso, Amerika Syarikat dan Korea Selatan turut berada dalam kumpulan sama.

Babak pertama menyaksikan Perancis banyak mendominasi perlawanan. Bagaimanapun, penyudah tumpul daripada kedua-dua pasukan memastikan keputusan kekal 0-0 sehingga rehat.

Momentum mula memihak Perancis pada babak kedua. Mathis Lambourde membuka tirai jaringan Les Bleus pada minit ke-49.

Perancis kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti dalam tempoh enam minit. Kedua-dua penalti masing-masing disempurnakan Joan Tincres (minit ke-81) dan Tidiam Gomis (minit ke-83).

Biarpun pengadil menganugerahkan masa tambahan selama 14 minit, kelebihan itu gagal dimanfaatkan pasukan Afrika itu dalam memburu gol saguhati.

Ini membolehkan Perancis selesa mempertahankan kedudukan 3-0 mereka sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini membolehkan Perancis mendahulu Kumpulan E dengan tiga mata buat sementara waktu.

Bagaimanapun, keputusan ini boleh saja berubah sekiranya Amerika Syarikat atau Korea Selatan meraih kemenangan dalam satu lagi aksi Kumpulan E.