Piala Dunia: Brazil Layak Ke Pusingan Kedua
Piala Dunia
Sudhir Kothari
Advertisements

Brazil mengikut jejak langkah Perancis mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Switzerland dalam aksi kedua Kumpulan G hari ini.

Brazil yang bermain tanpa kelibat Neymar tetap merbahaya sebaik sepak mula. Jentera serangan Brazil diketuai Richarlison, Vinicius Jr dan Raphinha mula menguji Rossocrociati seawal minit keempat tetapi hantaran Raphinha gagal dicapai oleh penyerang Tottenham Hotspur itu. Kesilapan hantaran penjaga gol Alisson hampir direbut pemain Switzerland tetapi ia berjaya disekat oleh pertahanan Selecao.

Brazil terus mencuba menekan pertahanan Rossocrociati tetapi Switzerland sekali-sekala bijak mencari ruang untuk serangan balas. Sekitar minit ke-38, Ruben Vargas berjaya melepaskan diri daripada Thiago Silva sebelum melepaskan rembatan ke arah gol Selecao. Bagaimanapun, percubaan penyerang Augsburg itu berjaya disekat Alisson.

Advertisements

Selecao hampir meraih gol pertama menerusi tandukan Silva hasil sepakan sudut Raphinha pada minit akhir babak pertama tetapi ia tidak menepati sasaran. Kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, jurulatih Brazil Tite memasukkan Rodrygo menggantikan Lucas Paqueta bagi menambah elemen kreativiti di bahagian serangan. Tetapi Rossocrociati sekali lagi menguji pertahanan Selecao menerusi bek kanan Silvan Widmer pada minit ke-53 tetapi percubaannya berjaya dihadang oleh Rodrygo sebelum dikeluarkan oleh pertahanan Brazil.

Tersentak, Brazil memperkemas rentak mereka dan menguji Switzerland menerusi hantaran Vinicius Jr pada minit ke-56. Tetapi malangnya, Richarlison gagal mendapatkan umpanan cantik pemain Real Madrid itu sebelum berjaya dikeluarkan oleh pemain-pemain pertahanan lawan. Tite kemudiannya memasukan Bruno Guimaraes menggantikan Fred bagi menambah kestabilan bahagian tengah.

Advertisements

Hasilnya, Brazil menyangka telah menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi Vinicius Jr pada minit ke-64. Bagaimanapun, belum sempat pemain dan penyokong Selecao meraikannya, gol tersebut dibatalkan selepas disemak VAR atas alasan penyerang muda Los Blancos itu berada pada kedudukan ofsaid.

Tite kemudiannya memasukkan dua penyerang dari EPL, Gabriel Jesus (Arsenal) dan Antony (Manchester United) menggantikan Richarlison dan Raphinha. Kemasukan dua penyerang ini menambah dimensi baru serangan Selecao terutama situasi bola mati. Hasilnya, satu hantaran kepada Casemiro disudahkan melalui satu sepakan voli kencang menembusi gawang Switzerland pada minit ke-83.

Bagaimanapun, Brazil tidak berhenti di situ dan mencari gol kedua. Penjaga gol Rossocrociati, Yann Sommer sekali lagi dipaksa bekerja keras menafikan percubaan Rodrygo pada minit ke-87. Vinicius Jr hampir menambah gol kedua Brazil pada minit akhir perlawanan tetapi cubaan hantarannya kepada Gabriel Jesus berjaya disekat bek tengah Manchester City, Manuel Akanji.

Advertisements

Dengan kemenangan ini, Brazil layak ke pusingan seterusnya selepas dua perlawanan dengan Switzerland berada di tempat kedua dengan tiga mata. Selecao boleh mara sebagai juara kumpulan dengan syarat seri atau menang bila bertemu Cameroon pada awal pagi 3 Disember. Manakala Switzerland pula perlu menang atau seri bila berdepan Serbia pada hari sama jika mahu mengikut Brazil ke peringkat seterusnya.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram