Piala Dunia 2026: Argentina Singkirkan Switzerland Penuh Epik
MakanBola
Seleccion Argentina

Perjalanan Switzerland dalam saingan Piala Dunia FIFA berakhir di pusingan suku akhir selepas tewas kepada Argentina di Stadium Kansas City, sekali gus memastikan slot separuh akhir buat La Albiceleste.

Selaku pasukan pilihan, La Albiceleste menepati ramalan apabila menundukkan Nati 3-1 meskipun menerima tentangan sengit oleh pasukan Switzerland selama 120 minit.

Argentina membariskan Lionel Messi sebagai ayam tambatan utama pasukan sementara Emiliano Martinez terus diberikan kepercayaan bagi mengawal benteng La Albiceleste.

Switzerland pula meletakkan Breel Embolo di bahagian serangan sambil penjaga gol Borussia Dortmund, Gregor Kobel menjadi perisai terakhir Nati.

Pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister muncul penjaring pertama perlawanan apabila menanduk masuk hantaran penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia, Lionel Messi untuk meletakkan La Albiceleste di depan pada minit ke-10.

Assist tersebut memastikan Lionel Messi kekal sebagai pemain paling banyak melakukan bantuan jaringan sepanjang Piala Dunia sebanyak 10 kali.

Jaringan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama meskipun Switzerland tampak melakukan beberapa percubaan berbahaya bagi mencari gol penyaman.

Memasuki babak kedua aksi, Switzerland terus mengasak kubu pasukan Argentina menerusi Breel Embolo namun ketangkasan pertahanan La Albiceleste harus diberi pujian.

Pada minit ke-67, pemain Nottingham Forest, Dan Ndoye berjaya meraih gol penyamaan aksi selepas menerima bantuan jaringan oleh R.Rodriguez sekali gus menghangatkan kembali perlawanan.

Switzerland harus menerima keputusan pengadil untuk beraksi hanya 10 pemain pada minit ke-72 selepas Breel Embolo dilayangkan kad merah aksi akibat didakwa berpura-pura dikasari pemain La Albiceleste.

Separuh masa kedua tamat dengan keputusan terikat 1-1 sekali gus mengheret perlawanan sehingga masa tambahan.

Jaringan Julian Alvarez dan Lautaro Martinez pada masa tambahan babak kedua cukup memastikan Argentina mara ke pusingan separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026.

Perlawanan tamat dengan keputusan 3-1 memihak pasukan Argentina dan dijadualkan bakal bertemu England pada aksi separuh akhir, 16 Julai 2026.