Kanada perlu berterima kasih kepada jaringan di penghujung aksi ketika terikat seri bertemu Bosnia dalam perlawanan pertama Piala Dunia FIFA 2026 mereka pada awal pagi Sabtu.
Keputusan seri pertama di Piala Dunia 2026 terhasil selepas Kanada yang berada di ranking ke-30 dunia terikat seri dengan Bosnia and Herzegovina dalam aksi pertama kumpulan B, ketika tuan rumah terpaksa harapkan gol di lewat aksi.
Kesebelasan utama Kanada ditunjangi penyerang Juventus, Jonathan David tanpa kelibat Alphonso Davies di benteng pertahanan sementara bekas bek Arsenal, Sead Kolasinac mengetuai barisan pemain Bosnia pada perlawanan ini.
Permulaan positif buat Bosnia apabila berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-21 menerusi tandukan Jovo Lukic yang menewaskan Maxime Crepeau di pintu gol Kanada, berpunca daripada tendangan sudut oleh Sead Kolasinac.
Babak kedua bersambung dengan usaha berterusan dilancarkan oleh Kanada untuk memburu gol penyamaan, namun dua percubaan terbaik mereka berjaya dipatahkan keampuhan benteng pertahanan negara di ranking ke-64 dunia itu.
Usaha tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila rembatan deras Cyle Larin berjaya menembusi gawang Bosnia yang dikemudi oleh Nikola Vasilj ketika permainan berbaki 11 minit sebelum wisel penamat dibunyikan oleh pengadil.
Perlawanan 90 mini di BMO Field akhirnya tamat dengan keputusan seri 1-1, sekali gus menyaksikan Kanada dan Bosnia and Herzergovina membuka kempen Piala Dunia 2026 bersama satu mata yang dikutip oleh kedua-dua pasukan.
Aksi seterusnya di kumpulan B bakal menemukan Kanada dan wakil Asia, Qatar manakala Bosnia akan turun menentang Switzerland dengan kedua-dua perlawanan dijadualkan berlangsung pada 19 Jun hadapan.