Ivory Coast mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia FIFA 2026 selepas berjaya menumbangkan Curacao penuh bertenaga dalam aksi terakhir kumpulan E pada awal pagi Jumaat.
Kemenangan 2-0 Ivory Coast ke atas Curacao sudah pun mencukupi bagi membawa The Elephants melangkah ke pusingan kalah mati sebagai naib juara kumpulan E, mengiringi juara Piala Dunia 4 kali, Jerman yang turut mara.
Kesebelasan utama Ivory Coast dibarisi nama-nama terkenal seperti pemain sayap Manchester United, Amad Diallo dan Yan Diomande tatkala Curacao tampil dengan formasi 5-4-1, menaruh kepercayaan kepada Tahith Chong di jentera tengah.
Gol pembukaan terhasil seawal minit ke-7 apabila kesilapan pemain-pemain Curacao mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya dihukum oleh barisan serangan Ivory Coast dengan Nicolas Pepe hadir mencatatkan nama sebagai penjaring.
Nama Nicolas Pepe sekali lagi tercatat sebagai penjaring pada pertengahan babak kedua selepas percubaan kaki kiri bintang Villareal tersebut berjaya menewaskan pertahanan dan penjaga gawang Curacao, Eloy Room di minit ke-64.
Dua gol Nicolas Pepe itu kekal sehingga perlawanan berakhir sekali gus menghadiahkan kemenangan 2-0 dan 3 mata buat Ivory Coast layak ke pusingan kalah mati selaku naib juara kumpulan E dengan mengumpul 6 mata.
Sementara itu, Jerman yang turut mengumpul 6 mata layak selaku juara kumpulan E, dengan kelebihan perbezaan gol selain Ecuador yang turut mencipta sejarah sebagai pasukan ke-3 terbaik dan Curacao terpaksa akur tersingkiri.