Switzerland berjaya mencatatkan kemenangan pertama di pentas Piala Dunia FIFA 2026 selepas mengalahkan Bosnia and Herzegovina.
Kemenangan 4-1 ke atas Bosnia hadir seminggu selepas Switzerland terikat seri berdepan Qatar dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia FIFA pada minggu lalu sekali gus mencerahkan peluang layak ke pusingan kalah mati nanti.
Granit Xhaka sekali lagi menjadi tunjang harapan Switzerland mengemudi jentera tengah bersama lilitan kapten di lengan sementara Bosnia kembali menyenaraikan penyerang berpengalaman, Edin Dzeko dalam kesebelasan utama pasukan.
Perlawanan tampak seimbang dengan Switzerland cuba melancarkan asakan pantas ke arah kubu Bosnia menerusi gandingan Breel Embolo, Dan Ndoye dan Fabian Rieder namun deretan serangan tersebut dipatahkan pihak lawan dengan tenang.
Usaha sama turut digerakkan barisan serangan Bosnia yang dilihat gemar memanfaatkan serangan balas dalam usaha untuk memerangkap pasukan lawan serta memperoleh kelebihan sebelum separuh masa yang pertama berakhir.
Jaringan yang dinanti-nanti akhirnya tiba pada minit ke-74 setelah pemain gantian Switzerland, Johan Manzambi melepaskan voli deras kaki kanan yang gagal ditepis kemas oleh penjaga gawang Bosnia, Nikola Vasilj untuk gol pertama aksi.
Malang buat kem Bosnia apabila terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain setelah pertahanan, Tarik Muharemovic dilayangkan kad merah pada minit ke-80 gara-gara melakukan terjahan lewat ke atas Breel Embolo berdekatan kotak penalti.
Kesempatan itu diambil baik oleh Switzerland untuk mencetak gol kedua perlawanan menerusi penyudah Ruben Vargas yang tenang menolak bola hantaran oleh Breel Embolo dan menewaskan Nikola Vasilj buat kali yang kedua.
Johan Manzambi sekali lagi mencipta nama selaku penjaring Switzerland hasil jaringan ke-3 setelah menampan kemas hantaran Ruben Vargas dari sayap kiri sebelum Ermin Mahmic menjaringkan gol saguhati buat Bosnia pada penghujung aksi.
Penalti Granit Xhaka melengkapkan kemenangan bergaya buat Switzerland sekali gus menghadiahkan 3 mata pertama dalam kempen Piala Dunia FIFA mereka pada edisi 2026 kali ini
Pertarungan 90 minit berakhir dengan kemenangan 4-1 buat Switzerland.
Aksi terakhir peringkat kumpulan B nanti akan menemukan Switzerland dan Kanada sementara Bosnia pula bakal berdepan tentangan juara Asia, Qatar dengan kedua-dua perlawanan dijadualkan berlangsung pada 25 Jun ini.