Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal mencipta kejutan dengan menewaskan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Man City dalam aksi terbaru pusingan 16 Piala Dunia Kelab.
Kedua-dua pasukan memburu slot ke suku akhir. Al-Hilal turut melihat aksi ini sebagai satu lagi peluang memalukan kelab Eropah selepas mengikat Real Madrid 1-1.
Erling Haaland terus menjadi pilihan Pep Guardiola untuk memburu gol City. Joao Cancelo bersiap sedia menghadapi asakan pasukan lamanya di slot bek kanan.
Babak pertama menyaksikan City berusaha meraih gol pendahuluan seawal minit keenam menerusi Ruben Dias. Malangnya, tandukan beliau dinafikan penjaga gol Al-Hilal, Yassine Bounou.
Tiga minit kemudian, kem City ceria apabila kapten, Bernardo Silva menyumbat gol pendahuluan dari jarak dekat.
Tersentak, The Blue Waves bangkit memberikan tekanan ke atas benteng The Citizens yang diketuai Dias tetapi tidak berhasil.
Sebaliknya, City hampir menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-25 menerusi Savinho. Walau bagaimanapun, Bounou bertindak pantas menafikan percubaan pemain Brazil itu.
The Citizens terus berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Al-Hilal pantas menyamakan kedudukan seminit selepas itu. Malcom membuat larian pantas sebelum membuat hantaran yang disudahkan Marcos Leonardo.
Lima minit kemudian, giliran The Blue Waves yang dibimbing Simone Inzaghi pula mendahului. Malcom sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada City sebelum menewaskan rakan senegara, Ederson.
City kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Haaland pada minit ke-65. Haaland membuat tolakan pantas yang gagal disekat Bounou.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari jaringan kemenangan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan. Ini memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
Bekas bek tengah Chelsea, Kalidou Koulibaly kembali meletakkan Al-Hilal di hadapan pada minit ke-94. Bek tengah Senegal itu mudah menanduk hantaran Ruben Neves yang menewaskan Ederson.
Keceriaan kem The Blue Waves hanya bertahan selama 10 minit. Phil Foden menyumbat gol senior ke-100 bagi menjadikan kedudukan 3-3.
Al-Hilal terus membuktikan semangat juang mereka terus menyala apabila kembali mendahului 4-3. Leonardo sekali lagi merobek gawang Ederson.
City terus berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 4-3 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Al-Hilal akan menentang Fluminense di peringkat suku akhir.
Fluminense mara selepas mencipta kejutan ke atas kelab gergasi Serie A, Inter Milan. German Cano dan Hercules mencetak nama sebagai penjaring buat kelab Brazil itu.
Bounou dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 9.0. Beliau mengatasi Savinho yang meraih 8.1 mata.