Piala Dunia Kelab: Real Madrid Tergamam Diikat Al-Hilal
MakanBola
Al-Hilal FC

Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid membuka kempen Piala Dunia Kelab dengan satu mata apabila diikat 1-1 oleh kelab gergasi Asia, Al-Hilal.

Aksi Kumpulan H menyaksikan Xabi Alonso dan Simone Inzaghi masing-masing membuat kemunculan pertama sebagai jurulatih Los Blancos dan The Blue Waves.

Trent Alexander-Arnold membuat kemunculan pertama untuk Real Madrid selepas berpindah dari Liverpool. Marcos Leonardo menjadi taruhan Inzaghi merobek gawang kelab LaLiga itu.

Separuh masa pertama menyaksikan Al-Hilal hampir mendahului seawal minit kedua menerusi pemain tengah Serbia, Sergej Milinkovic-Savic.

Penjaga gol Los Blancos, Thibaut Courtois bertindak pantas menafikan percubaan 25 kaki bekas pemain Lazio itu sebelum ia menerjah jaring.

Lapan minit kemudian, giliran Leonardo pula mencemaskan barisan pertahanan Real Madrid. Bekas juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL) itu bernasib apabila percubaan penyerang Brazil itu tidak menepati sasaran.

Tatkala Al-Hilal rancak menyerang, Los Blancos mendahului pada minit ke-34. Penyerang muda, Gonzalo Garcia menyudahkan bola melepasi penjaga gol The Blue Waves, Yassine Bounou.

Keceriaan kem Real Madrid hanya bertahan selama enam minit. Al-Hilal kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti apabila Raul Asencio dikesan menjatuhkan Marcos Leonardo.

Bekas kapten Wolverhampton Wanderers, Ruben Neves tenang menewaskan Courtois untuk menyamakan kedudukan 1-1. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Alonso membuat satu pertukaran dengan memasukkan bintang muda Turkiye, Arda Guler menggantikan Asencio.

Garcia hampir meletakkan Real Madrid di hadapan buat kali kedua menerusi tandukan pada minit ke-46. Malangnya, tandukan penyerang berusia 21 tahun itu dinafikan Bounou.

Guler kemudiannya hampir mencemaskan penjaga gol Maghribi itu dengan percubaan jarak jauh pada minit ke-67. Bounou bernasib baik kerana percubaan bintang Turkiye itu melewati palang.

Los Blancos menyangka mereka meraih kemenangan pada minit akhir perlawanan apabila dianugerahkan sepakan penalti. Ini selepas Fran Garcia dijatuhkan Hamad Al Yami dalam kotak penalti.

Malangnya, sepakan penalti yang diambil Federico Valverde berjaya dinafikan Bounou. Ini memastikan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam Kumpulan H. Satu lagi aksi kumpulan membabitkan Pachuca dan Red Bull Salzburg sedang berlangsung ketika ini.

Bounou dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.3. Beliau jauh meninggalkan Fran Garcia yang hanya meraih 7.7 mata.

Selepas ini, Real Madrid akan menentang Pachuca pada 23 Jun. Al-Hilal pula akan menentang Salzburg pada hari yang sama.