Piala Dunia Kelab: Kad Merah Tak Halang Real Madrid Kalahkan Pachuca
MakanBola
Real Madrid CF

Kad merah bukan penghalang buat kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid meraih kemenangan ke atas Pachuca dalam aksi kedua Kumpulan H Piala Dunia Kelab.

Selepas diikat 1-1 oleh Al-Hilal beberapa hari lalu, anak buah Xabi Alonso perlu mendapatkan kemenangan jika ingin mara ke pusingan seterusnya. Pachuca turut membawa misi sama selepas tewas 2-1 kepada Red Bull Salzburg.

Gonzalo Garcia terus diberi kepercayaan mengetuai serangan Los Blancos. Bekas penyerang Newcastle United, Salomon Rondon menjadi sandaran gol jurulatih Los Tuzos, Jaime Lozano.

Separuh masa pertama menyaksikan Real Madrid ditimpa malang seawal minit ketiga. Raul Asencio dilayangkan kad merah selepas menghalang Rondon daripada cuba menjaringkan gol.

Alan Bautista hampir meletakkan Pachuca di hadapan pada minit ke-18. Walau bagaimanapun, percubaannya pantas dinafikan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.

Tatkala Los Tuzos cuba memanfaatkan kelebihan 11 pemain, Real Madrid terlebih dahulu di hadapan menerusi Jude Bellingham pada minit ke-35. Bellingham mudah menyudahkan hantaran Fran Garcia melepasi penjaga gol Pachuca, Carlos Moreno.

Lapan minit kemudian, giliran bintang muda Turkiye, Arda Guler pula menggandakan kelebihan Los Blancos. Gol tersebut memastikan Real Madrid mendahului 2-0 sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Alonso dan Lozano masing-masing membuat satu pertukaran pemain. Legenda Liverpool itu memasukkan Brahim Diaz menggantikan Gonzalo Garcia.

Lozano yang juga bekas jurulatih Mexico pula memasukkan Gustavo Cabral menggantikan Alexei Dominguez Figueroa.

Meskipun bermain dengan 11 pemain, Pachuca dilihat buntu untuk menembusi gawang Real Madrid yang dikawal Courtois.

Kegagalan mereka memanfaatkan peluang dihukum Los Blancos menerusi gol ketiga pada minit ke-70 menerusi kapten, Federico Valverde.

Elias Montiel merapatkan jurang buat Pachuca 10 minit selepas itu. Los Tuzos cuba merapatkan defisit gol tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Real Madrid memintas Salzburg sebagai pendahulu Kumpulan H dengan empat mata. Kedudukan ini dijangka berubah dengan perlawanan Salzburg-Al-Hilal sedang berlangsung ketika ini.

Pachuca pula mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia Kelab. Ini selepas mereka gagal mengutip sebarang mata selepas dua perlawanan.

Sofascore memilih Courtois sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.1. Montiel menjadi pemain terbaik Pachuca dengan markah 7.9.

Kelab Mexico itu berpeluang menutup kempen kejohanan dengan kemenangan apabila menentang Al-Hilal pada 27 Jun. Salzburg pula akan berentap dengan Real Madrid pada hari yang sama.