Manchester United berjaya mara ke pusingan kelima Piala FA Inggeris selepas berjaya membelasah Tranmere Rovers 6-0 di gelanggang lawan, Prenton Park, Merseyside.
The Red Devils membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 permainan menerusi pemain pertahanan termahal mereka, Harry Maguire yang membuat percubaan di luar kotak penalti.
Daigo Dalot berjaya menambah gol kedua pantas buat MU pada minit ke-13.

Ketika kelab Divisyen Liga Satu ini sedang cuba untuk bangkit, selang 3 minit kemudian gawang Tranmere Rovers bolos lagi, pada minit ke-16, kali ini menerusi Jesse Lingard yang turut membuat percubaan di luar kotak penalti untuk memberikan jaringan ketiga buat MU.
Pada minit ke-41, Phil Jones berjaya menjaringkan gol keempat sebelum penyerang MU Anthony Martial menambah lagi derita jaringan kelima buat Tranmere pada minit ke-45. Lima gol dihasilkan pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, hanya ada satu jaringan berjaya ditambah oleh MU menerusi sepakan penalti Mason Greenwood pada minit ke-56. Biarpun selepas itu terdapat aksi berbalas serangan antara kedua-dua pasukan, namun tetap berkesudahan dengan jaringan 6-0.