Saingan Piala FA musim 2026/27 mencuri tumpuan selepas keputusan undian pusingan 16 pasukan terbaik diumumkan.
Undian pusingan 16 terbaik yang dijalankan oleh Malaysian Football League (MFL) menyaksikan beberapa keputusan undian menarik perhatian peminat bola sepak tanah air.
Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menentang kelab Liga A1 Semi-Pro, UM-Damansara United sebagai lawan dalam pusingan 16.
Ini kali kedua kedua-dua pasukan bertemu selepas bertemu di pusingan sama Piala FA musim lalu. Musim 2025/26 menyaksikan JDT menewaskan UM Damansara 10-3 secara agregat.
Selepas meraih kemenangan 5-0 dalam aksi pertama pada 16 Ogos 2025, Harimau Selatan meraih kemenangan 5-3 dalam aksi kedua pada 2 Oktober 2025.
Naib juara Piala Sumbangsih, Kuching City FC pula akan menentang pendatang baru Liga Super, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC).
Saingan Piala FA musim lalu menyaksikan JDT muncul juara dengan membelasah Sabah FC 5-0.